Shopping Cart
Your shopping cart is empty!

Islamisasi ilmu pengetahuan semasa dan pendidikan umat Islam telah banyak diperbincangkan secara serius sejak Persidangan Sedunia Pendidikan Islam yang pertama di Makkah pada 1977, tetapi tidak terdapat usaha yang sistematik dan berwibawa untuk menelusuri sejarah idea-idea penting mengenai kedua-duanya. Kehampaan ini menyukarkan usaha memahami gagasan-gagasan penting dalam pendidikan Islam masa ini, dan menimbulkan banyak masalah dalam pelaksanaan di pelbagai tahap.
Buku ini merupakan satu huraian tentang idea-idea dan amalan pendidikan salah seorang cendekiawan Islam yang terulung dan amat kreatif pada zaman ini, Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang juga telah memainkan peranan mendasar dalam Persidangan Sedunia Pendidikan Islam yang pertama dan kedua, dan dalam menyuluh fikiran dan perjuangan kependidikan umat selama lebih dari tiga dekad, menghadapi zaman yang semakin mencabar pandangan alam, tatanilai, dasar akhlak dan Syariat Islam.
Profesor Wan Mohd Nor telah mengetengahkan pelbagai bukti dan hujah bahawa Syed Muhammad Naquib al-Attas yang bertanggungjawab menemukan dan menghuraikan gagasan kependidikan dan kebudayaan terpenting untuk umat Islam zaman ini, iaitu Islamisasi ilmu pengetahuan semasa dan pendidikan, dan mempamerkan amalan idea-idea dan gagasan ini dalam konteks institusi pendidikan tinggi, khasnya di ISTAC (International Institute of Islamic Thought and Civilization) Kuala Lumpur, yang diasaskan olehnya dan dipimpinnya.
Karya ini mungkin yang pertama dalam wacana pemikiran pendidikan Islam masa ini. Penulis telah menggunakan pelbagai sumber sama ada yang diterbitkan atau tidak, interviu, dan perhatian langsung tentang sikap dan amalan Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai seorang pemikir dan pendidik. Buku ini sangat penting kerana ia mengandungi huraian dan analisis serta perbandingan yang sistematik dan mendalam tentang idea-idea dan amalan keagamaan dan kependidikan subjeknya secara perbandingan dengan tokoh-tokoh pemikiran dan pendidikan Islam semasa (seperti Abduh, Iqbal, Fazlur Rahman, Ismail al-Faruqi, S.H. Nasr, Abdul Karim Soroush dll) dan yang bukan Islam. Di antara tajuk besar dan penting yang dibicarakan secara berhubung kait ialah pandangan metafizika Islam (Metaphysical worldview of Islam); ilmu dan pelbagai cara mencapainya; makna, kandungan dan kaedah pendidikan; fardu ain dan fardu kifayah; kaedah tauhid dalam epistemologi dan pendidikan; tafsir dan takwil sebagai kaedah saintifik; bahasa Arab sebagai bahasa saintifik; konsep dan hakikat universiti Islam; sejarah Islamisasi ilmu pengetahuan semasa dan respons terhadapnya dan lain- lain.

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below: